Cabaran Transformasi Pendigitalan Sektor Swasta dan Kerajaan di Malaysia
MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari 2021. MyDIGITAL merupakan aspirasi kerajaan dalam mentransformasi negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan seterusnya menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital. Sesuatu yang perlu dipandang serius apabila blueprint menyasarkan seawal tahun 2022 bagi semua sektor awam menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan storan pengkomputeran awam merentas sektor awam sehingga 80%. Malah menjelang 2025 sektor awam harus memastikan 100% penjawat awam celik digital dan 80% perkhidmatan kerajaan berada dalam talian sepenuhnya. Cabaran besar kepada semua penjawat awam bagi menjayakannya. Adalah menarik apabila Teras Pertama yang di gariskan ialah bagi memacu transformasi digital sektor awam dengan menyenaraikan 3 strategik utama yang perlu diberi perhatian untuk dicapai. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan penjawat awam dalam mendukung tugas paling berat memastikan dasar dan rangka tindakan khususnya di sektor awam berjaya dilaksanakan. Pertama ialah mengurus perubahan untuk beralih kepada digital secara berkesan. Maka satu gerakan besar-besaran terhadap budaya kerja dan cara fikir penjawat awam untuk beralih daripada kaedah tradisional kepada digital dalam setiap pekerjaan dan perkhidmatan harus dilakukan segera. Kedua ialah memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan proses kerja dan produktiviti. Hal ini dapat dilakukan dengan memastikan penjawat awam meningkatkan penerimagunaan teknologi digital dan penggunaan peralatan digital. Usaha mengutamakan pengkomputeran awan mampu meningkatkan proses kerja dan produktiviti. Ia sekali gus mengamalkan budaya kerja tanpa kertas dalam pekerjaan seharian. Oleh yang demikian kemuncak kepada kualiti perkhidmatan dalam talian yang perlu diusahakan oleh penjawat awam ialah memastikan keseluruhan proses transaksi digital yang dijamin selamat untuk memenuhi keperluan kerahsiaan, pengesahan identiti dan integriti maklumat. Ini tanggungjawab yang besar untuk diusahakan oleh setiap penjawat awam di segenap lapisan (Ahmad, Pendigitalan sektor awam di Malaysia ada peningkatan , 2022)
Sektor swasta perlu memperkenalkan penyelesaian inovatif dalam menyelesaikan cabaran sosio-alam sekitar, melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendepani transformasi dan menyertai dalam agenda memperkasakan masyarakat dan sosioekonomi. Kerajaan mahu ekonomi digital menyumbang ke arah pertumbuhan yang sejahtera dan mampan dari segi sektor swasta. Perniagaan adalah pertumbuhan utama ekonomi digital, justeru pada tahun 2030, kerajaan mensasarkan untuk mencapai peningkatan produktiviti sebanyak 30 peratus di semua sektor di Malaysia dengan memanfaatkan teknologi digital. Penglibatan sektor swasta seperti penggiat industri bukan hanya berperanan sebagai pengguna dan pengikut sahaja tetapi juga pencipta model perniagaan inovatif di bawah ekonomi digital.
Untuk mengetahui lebih lanjut Klik Sini
Comments
Post a Comment